Kedatangan Nabi Lut 
Nabi Lut A.S. adalah sezaman dengan Nabi  Ibrahim A.S. Dia adalah pengikut kepercayaan bapa saudara baginda. Baginda  adalah rakyat Ur, bandar besar di Mesopotamia semasa Allah menganugerahkan  kenabian ke atas baginda.
Baginda diperintahkan untuk meninggalkan tanah  asal baginda dan pergi ke Sodom dan Gamorra untuk memberi amaran dan memulihkan  kaum yang terlibat dengan hubungan homoseksual dan rompakan. 
"Dan (kami  juga mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah)tatkala dia berkata kepada  kaumnya: "Mengapa kamu mengerjakan perbuatan faahisyah itu, belum pernah  dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelummu? " Sesungguhnya kamu  mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita,  malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas."
(Al-'Araaf, 7:  80-81)
Dalam ayat yang lain, terdapat penerangan tentang sifat kaum yang  berdosa tersebut.
"Dan (ingatlah) ketika Lut berkata kepada kaumnya:  "Sesungguhnya kamu benar-benar mengerjakan perbuatan yang amat keji yang belum  pernah dikerjakan oleh seorangpun dari umat-umat sebelum kamu" Apakah kamu patut  mendatangi laki-laki, menyamun dan mengerjakan kemungkaran di tempat-tempat  pertemuanmu? Maka jawapan kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Datangkanlah  kepada kami azab Allah, jika kamu termasuk orang-orang yang benar" ".  (Al-Ankabut, 29: 28-29)
Nabi Lut A.S. Menyeru Dan Seruan  Ditolak
Nabi Lut A.S. dianggap makhluk asing oleh kaumnya. Baginda  mula gigih menyeru agama Allah kepada mereka. Baginda menasihati kaumnya untuk  mengawal diri mereka menentang hukuman daripada Allah. Baginda juga menggesa  mereka membuang tabiat mereka yang berdosa dan memberitahu mereka bahawa Tuhan  menciptakan wanita untuk memenuhi nafsu lelaki. Mereka tidak mendengar teguran  daripada nabi. Mereka mencemuh dan mengugutnya dengan akibat yang sangat buruk.  Mereka menjawab yang nabi akan dihalau daripada bandar tersebut sekiranya  baginda tidak berhenti menyeru dan menegur mereka. Ayat dalam al-Quran ada  menyebut :
"Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Usirlah mereka  (Lut dan pengikut-pengikutnya) dari kotamu ini; sesungguhnya mereka adalah  orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri.""
(Al-'Araaf, 7:  82)
Idea yang sama dipaparkan dalam ayat di bawah:
"Mereka  menjawab: "Hai Lut, sesungguhnya jika kamu tidak berhenti, benar-benar kamu  termasuk orang-orang yang diusir" Lut berkata: "Sesungguhnya aku sangat benci  kepada perbuatanmu" (Lut berdo'a): "Ya Tuhanku selamatkanlah aku beserta  keluargaku dari (akibat) perbuatan yang mereka kerjakan"" (Asy-Syura, 26:  167-169) 
Masa berlalu, Nabi Lut A.S. tidak dapat mencapai kejayaan yang  dirancang dalam memulihkan orang-orang yang berdosa tersebut. Mereka tidak  berasa malu dan amaran daripada Nabi Lut A.S. membuatkan mereka  marah.
Kemunculan Malaikat Sebagai Tetamu
Pada suatu hari,  tiga malaikat telah mendatangi Nabi Lut A.S. dengan menyerupai pemuda-pemuda  kacak dan menyampaikan pesanan penting daripada Allah. Nabi Lut A.S. dan  pengikutnya diperintahkan untuk meninggalkan bandar tersebut kerana satu bencana  yang dasyat akan berlaku. Apabila para penduduk mendengar khabar kedatangan  pemuda-pemuda kacak itu, mereka telah cuba menyerbu rumah Nabi Lut A.S. dan  meminta baginda menyerahkan pemuda-pemuda itu kepada mereka. Nabi Lut A.S.  sangat terkejut dan berkata:
"Hai kaumku, inilah puteri-puteri(negeri)ku  mereka lebih suci bagimu, maka bertakwalah kepada Allah dan janganlah kamu  mencemarkan (nama)ku terhadap tamuku ini. Tidak adakah di antaramu yang  berakal?" (Huud, 11: 78) 
Mereka menolak rayuan Nabi Lut A.S. dan  berkata:
"Sesungguhnya kamu telah tahu bahawa kami tidak mempunyai  keinginan terhadap puteri-puterimu; dan sesungguhnya kamu tentu tahu apa  sebenarnya kami kehendaki " (Huud, 11: 79)
Nabi Lut A.S. sangat kecewa  dan berkata:
"Seandainya aku ada mempunyai kekuatan (untuk menolakmu)  atau kalau aku dapat berlindung kepada keluarga yang kuat (tentu aku lakukan)"  (Huud, 11: 80)
Malaikat menyampaikan Pesanan
Nabi Lut A.S.  memberi amaran kepada kaumnya tentang hukuman yang tidak dapat dielakkan  sekiranya mereka masih tetap dengan tabiat buruk mereka. Mereka kemudiannya  ketawa dan meragui Nabi Lut A.S.. Apabila semua usaha yang dilakukan tidak  diendahkan maka malaikat yang menyerupai manusia itu berkata:
"Hai Lut,  sesungguhnya kami adalah utusan-utusan Tuhanmu, sekali-kali mereka tidak akan  dapat mengganggu kamu, sebab itu pergilah dengan membawa keluarga dan  pengikut-pengikut kamu di akhir malam dan janganlah ada seorangpun di antara  kamu yang tertinggal, kecuali isteri-isterimu. Sesungguhnya dia akan ditimpa  azab yang menimpa mereka kerana sesungguhnya saat jatuhnya azab kepada mereka  ialah di waktu subuh; bukankah subuh itu sudah dekat?" (Huud, 11:  81)
Nabi Lut A.S. Dibebaskan Dan Kaumnya Dimusnahkan
Nabi  Lut A.S. dan pengikutnya meninggalkan bandar pada saat-saat genting di malam  hari dan mencari tempat perlindungan yang selamat. Sejurus selepas mereka sampai  di tempat perlindungan, satu bunyi dentuman yang kuat menggegarkan bumi. Bunyi  itu adalah bunyi gempa bumi yang dasyat dan memusnahkan rumah-rumah dan  bangunan-bangunan. Batu-batu melambung ke udara menghentam orang-orang yang cuba  melarikan diri. Semua orang yang berdosa habis dimusnahkan. Nabi Lut A.S. dan  pengikutnya selamat tetapi isterinya tidak dapat bertahan kerana dia bersimpati  dengan penduduk-penduduk lain yang berdosa. 
"Maka mereka dibinasakan  oleh suara keras yang menguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan  bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari  tanah yang keras. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat  tanda-tanda (kekuasaan Kami) bagi orang-orang yang memerhatikan tanda-tanda. "  (Al-Hijr, 15: 73-75)
Nabi Lut A.S. telah menerima kasih sayang Allah dan  diumumkan sebagai salah seorang yang benar. Dia meninggal dunia di Palestin dan  dikebumikan di Bani Na'ima dekat Habron. 
 
