Huud A.S. adalah Nabi yang diutuskan kepada Bani 'Ád  untuk memulihkan kaum tersebut. Salasilah keturunan baginda berkait dengan Nabi  Nuh A.S. dan anaknya. Nabi Huud A.S. berasal dari keturunan Bani 'Ád yang  merupakan generasi Sam.
Kualiti Kaum 'Ad Yang  Cemerlang
Kaum 'Ád bertengkar dengan anak-anak kaum Ham dan  meninggalkan Babylon. Mereka menjadi penduduk di suatu daerah yang terletak di  selatan Arab bersempadan dengan Oman, Yaman dan Hadramaut. Di sana, mereka  membina istana-istana dan kuil-kuil yang menyembah banyak tuhan dan  bintang-bintang . Nama-nama tuhan-tuhan mereka yang utama ialah Saqiah, Salimah,  Raziqah dan Hafizun. Kaum Bani 'Ád sangat mahir dalam ukiran batu. Allah telah  mengurniakan kepada mereka kekayaan, binatang ternakan, anak-anak dan  taman-taman yang indah. Mereka telah mencapai tamadun yang tinggi dan Raja  mereka yang terkenal ialah Shaddad. Dia membina istana yang sangat besar  berhampiran Adal yang dikenali sebagai Taman Iram (Garden of Iram). Dia juga  adalah raja yang kuat dan menakluki sehingga ke Syria, Iraq dan sempadan  bahagian benua Indo-pakistan. Kaum ini sangat bangga dengan pencapaian mereka  dan menganggap diri mereka unggul dan tidak boleh dilawan. Mereka tenggelam  dalam dosa dan perbuatan ganas serta tidak adil. Mereka sedikitpun tidak  menunjukkan rasa kesyukuran terhadap nikmat yang dikurniakan oleh Allah, malah  menjadi hamba yang ingkar kepada perintah-Nya.
Kemunculan Nabi Huud  A.S. Dan Menyampaikan Seruan 
Nabi Huud A.S. muncul di tengah-tengah  kaum tersebut sebagai pemimpin mereka. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk  membawa mereka kembali menyembah Allah. Baginda mengarahkan mereka supaya  meninggalkan perbuatan mungkar . Mereka langsung tidak menghiraukan ajaran dan  amalan baginda.
"Dan (kami telah mengutus) kepada kaum 'Ad, saudara  mereka Huud. Ia berkata: "Hai kaumku, sembahlah Allah, sekali-kali tidak ada  Tuhan bagimu selain-Nya. Maka mengapa kamu tidak bertakwa kepada-Nya " "  (al-'Araf, 11: 65)
Banjir Melanda
Kaum itu tidak mendengar  seruannya dan tidak menurut perintah Allah. Maka dengan itu, Allah menurunkan  kemurkaan-Nya kepada mereka. Arus yang sangat deras yang jarang berlaku dan  ribut yang sangat dasyat telah melanda kaum tersebut yang hampir memusnahkan  kebanyakan penduduk daripada kaum tersebut. Ayat al-Quran ada menerangkan  seperti berikut:
"Adapun kaum 'Ad maka mereka telah dibinasakan dengan  angin yang sangat dingin lagi kencang, yang Allah menimpakan angin itu kepada  mereka selama tujuh malam dan delapan hari terus menerus; maka kamu lihat kaum  'Ad pada waktu itu mati mati bergelimpangan seakan-akan mereka tunggul-tunggul  pohon kurma yang telah kosong (lapuk)" (Al-Haqqah, 69: 6-7)
"Maka kami  selamatkan Huud beserta orang-orang yang bersamanya dengan rahmat yang besar  dari kami, dan kami tumpaskan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami, dan  tiadalah mereka orang-orang yang beriman." (Al-'Araf, 7: 72)
Selepas itu,  orang-orang yang bertahan, memulakan hidup baru di Yaman. Makam Nabi Huud A.S.  di semadikan di Hadramaut dan selalunya dikunjungi oleh orang-orang Arab pada  bulan Rejab.
 
